Caj PTPTN tidak langgar syarak

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

Artikel Dr Mohd Asri Z.AbidinPUTRAJAYA 28 Julai – Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.

‘‘Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).

‘‘Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian.

Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setakat ini terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion.

Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.

Abdul Shukor berkata, perubahan caj perkhidmatan baru yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh PTPTN melalui Kementerian Pengajian Tinggi setelah dibuat perkiraan semula

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Jawapan Mengenai Keputusan Fatwa Kebangsaan Tentang Ptptn

“Banyak pihak menghubungi saya pada hari ini berhubung dengan pengumuman Pengerusi Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang kembali menghalalkan sistem yang digunakan oleh PTPTN dengan menyatakan ia tidak langgar syarak –seperti yang dilaporkan oleh Utusan pada hari ini (29 Julai 2008).

Untuk pengetahuan, saya tidak hadir pada mesyuarat khas pada 28 Julai 2008 tersebut yang kembali membincangkan kedudukan PTPTN, setelah diputus riba oleh Jawatankuasa yang sama di Alor Setar yang saya juga turut hadir. Dalam mesyuarat sebelum ini di Alor Setar pada 6-7 Mei 2008 memang pihak PTPTN juga akur bahawa caj yang dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman dan Jawatankuasa sepakat menganggapnya riba.

Cumanya, Pengerusi (yang juga Naib Canselor USIM) agak keberatan mengumumkan keputusan tersebut, sebaliknya hanya menyatakan kepada media bahawa pihak PTPTN dikehendaki mematuhi garis panduan. Saya sendiri semasa mesyuarat mengingatkan diri sendiri dan semua bahawa fatwa hendaklah bebas daripada tuntutan atau kepentingan mana-mana pihak.

Adapun pengumuman beliau tentang keputusan mesyuarat khas terbaru yang memansuhkan keputusan sebelum ini agak mengejutkan. Oleh kerana pada pengalaman yang lepas, Pengerusi Jawatankuasa tersebut juga pernah mengumumkan tentang kehalalan ASB dengan begitu umum tanpa menyebut bahawa keputusan Jawatankuasa –saya juga turut hadir- yang menuntut terlebih dahulu agar pihak berkenaan menubuhkan jawatankuasa syariah. Saya juga telah mengkritik cara pengumuman itu dibuat.

Untuk kali ini, saya mengambil keputusan menghubungi terus Dato’ Pengarah JAKIM untuk mengetahui kedudukan sebenar. Apa yang saya difahamkan, bahawa yang dianggap oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai tidak bertentangan dengan syarak adalah kaedah caj baru yang bakal diubah, bukan yang ada sekarang. Jika begitu, ini tentu berbeza dengan pengumuman tersebut.

Berhubung dengan perkara berkaitan, saya sendiri pernah mencadangkan agar Jawatankuasa Fatwa hendaklah menjemput mereka yang mempunyai padangan yang berbeza dalam sesuatu isu agar berbagai-bagai sudut dapat dilihat sebelum fatwa dibuat”.
http://drmaza.com/home/?p=338

One Response

Leave a Reply